Lepas Kecaman ‘Kanta Lekap’, Kini Dilabel Hero Animasi


PETALING JAYA - Selepas dikecam netizen kerana terlalu banyak warna kanta lekap yang dipakai, seorang lelaki kini meraih perhatian ramai kerana wajahnya yang kacak mirip watak hero sebuah filem animasi.

Dengan gaya rambut yang tebal dan sedikit panjang, janggut nipis serta kulitnya yang putih mulus, pemuda berusia 25 tahun disamakan dengan watak Flynn Rider daripada filem ‘Tangled’ terbitan Disney pada 2010.

Dalam filem animasi itu, Rider merupakan watak seorang lelaki kacak yang jatuh cinta dengan gadis berambut panjang bernama Rapunzel.

Seorang pengguna Facebook ‘Joevellysia’ berkata: “Ada iras-iras kartun watak hero ‘Tangled’. Ke saya saja yang perasan lebih-lebih ni?”

Malah ‘A’Lyza Aulia’ turut meneka “Muka kamu dah macam watak kartun dalam cerita apa entah, akak lupa.” 


Gambar watak kartun itu kemudiannya dimuat naik netizen di ruangan komen ‘posting’ Wahyuddin Syed Yunus yang berkongsi artikel mStar Online mengenai penjelasannya berhubung isu kanta lekap di Facebook.

Rata-rata netizen kemudian berpandangan bahawa pemuda yang lebih dikenali sebagai Wahyu seiras dengan hero filem animasi itu apabila dibuat perbandingan.

Wahyu ketika dihubungi mStar Online berkata, netizen mula melabelkannya dengan watak kartun berkenaan selepas isu memakai kanta lekap pelbagai warna kembali reda.

Tanggapan baharu tersebut membuatkan dia menonton filem animasi itu terutama selepas rakan-rakannya turut memberi pandangan yang sama.

“Sebelum ni saya tak pernah tengok filem ni. Tapi selepas tengok, tak ada sama pun. Kalau sama pun mungkin hanya gaya rambut dan janggut, mungkin.

“Tapi terkejut juga bila mak saya sendiri pun kata ada iras. Apapun saya terima saja selagi komen semua yang baik-baik dan bukan lagi kecaman,” katanya.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan penjelasan Wahyu mengenai pemakaian kanta lekap pelbagai warna adalah sebahagian daripada ekspresinya menjual produk itu.

Walaupun mengakui mencuba hampir 20 warna kanta lekap, namun anak kelahiran Tawau, Sabah itu memberitahu bahawa ia bukan sekadar suka-suka tetapi dia juga memakainya kerana rabun.

“Saya sebenarnya tak kisah apa orang kata pasal saya. Penjelasan saya sebelum ini supaya orang faham yang saya sebenarnya menjual kanta lekap.

“Alhamdulillah, sekarang semua dah faham dan mereka menyokong saya. Sekarang, saya mahu beri tumpuan kepada perniagaan saya,” katanya sambil menambah dia turut menerima mesej daripada ramai wanita yang mahu berkenalan dengannya selepas kisahnya tular di media sosial.

Sumber: Mstar Online