Lima Tahun Tempoh PPR DI 36 Dun Kedah


ALOR SETAR -  Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan tempoh masa lima tahun untuk menyediakan satu Projek Perumahan Rakyat (PPR) di setiap 36 Dun.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan negeri berhasrat untuk merialisasikan  '1 PPR, 1 DUN' sebagai satu inisiatif untuk membantu rakyat serta membantu membangunkan rumah mampu milik kepada yang memerlukan.

"Setakat ini kawasan yang terlibat dengan (projek) PPR ini adalah di Mukim Naga di Kepala Batas, Kota Setar, Kuala Nerang, Ayer Hitam, Bakar Bata di Alor Setar serta Kuah dan Ulu Melaka di Langkawi.

"Jumlah kos keseluruhan pembinaan projek PPR ini adalah sebanyak RM704 juta yang melibatkan pembinaan 3,228 unit rumah," katanya.

Beliau berkata demikian elepas merasmikan majlis pecah tanah PPR Ayer Hitam di Jerlun, semalam.

Jelasnya lagi, sebanyak 312 buah unit  rumah PPR bernilai RM50 juta telah pun siap di Kepala Batas.

Sementara itu, bagi kawasan PPR Kota Setar, PPR Kuala Nerang dan PPR Ayer Hitam kini masih lagi dalam proses pembinaan melibatkan 1,416 unit dengan kos RM254 juta.

"Projek PPR yang masih dalam perancangan adalah melibatkan 1,500 unit rumah bernilai RM400 juta iaitu di Bakar Bata, Alor Setar serta di Kuah dan Ulu Melaka, Langkawi,” katanya.

Menurutnya lagi, jumlah PPR dijangka bakal meningkat ekoran daripada lambakan permintaan dan permohonan daripada rakyat negeri Kedah yang dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) Datuk Izham Yusoff berkata anak syarikatnya, BDB Synergy Sdn Bhd bakal membina 630 buah rumah teres setingkat bagi projek PPR di Ayer Hitam.

"Saya berharap rumah PPR seluas 700 kaki persegi ini dapat menampung keperluan dan pertambahan penduduk Kedah dari semasa ke semasa," katanya. - Kedahnews.com