SUNGAI PETANI - Tidak memerlukan tempoh tiga tahun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah merealisasikan manifesto Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membina litar lumba Kedah yang ditunggu-tunggu golongan muda di negeri ini setelah tertangguh beberapa tahun.
Ahmad Bashah berkata, segala pengurusan berhubung pembinaan Kompleks Litar Sukan Bermotor yang bakal dibina di Bandar Amanjaya di sini telah berjaya diselesaikan dan pembinaan litar tersebut dijangka bermula awal bulan depan.
"Alhamdulillah, semua pengurusan telah selesai, kelulusan pembangunan dari Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) pun dah diluluskan. Jadi pada pertengahan September nanti, bula depan projek ini adakan bermula, bina infrastuktur dan sebagainya.
"Kita jangka dalam bulan September ini, pertengahan bulan depan, insyaAllah majlis pecah tanah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib (Tun Razak) nanti," katanya dalam sidang media sejurus mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, di sini pagi tadi.
Menteri Besar itu berkata, Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) akan memuktamadkan perjanjian dengan kontraktor yang juga anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB) dalam tempoh masa terdekat.
Jelasnya, projek berkenaan turut menyaksikan sedikit pengambilan tanah persendirian untuk pembinaan jalan keluar masuk ke tapak litar itu.
Kompleks Litar Sukan Bermotor yang bernilai sebanyak RM30 juta dengan pembiayaan penuh Kerajaan Pusat itu bakal dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 150 ekar yang melibatkan pembinaan trek sepanjang 1.8 kilometer.
Mempunyai sembilan selekoh yang bakal mencabar kemahiran anak muda di negeri ini, kompleks itu juga mampu menempatkan seramai 2,000 penonton di tempat duduk utama, medan berbumbung, di tepi dan teres bukit.
Selain itu, kompleks berkenaan juga merangkumi prasarana kemudahan lain seperti tandas, surau, tempat meletak kenderaan, kafeteria dan mempunyai sifat mesra golongan orang kelainan upaya (OKU).
Ahmad Bashah menjangka pembinaan litar tersebut bakal siap kira-kira enam bulan selepas projek tersebut bermula dan dapat digunakan sepenuhnya selepas pembinaan infrastruktur yang lain disiapkan oleh BDB.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam respon terhadap permintaan anak muda Kedah pada PRU ke-13 yang lalu bersetuju untuk menghadiahkan sebuah litar lumba bagi kegunaan mereka, sekaligus mengelak aktiviti rempit di negeri ini.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberikan pelbagai alasan yang menghalang projek berkenaan untuk dimulakan termasuk dakwaan seperti kononnya Kerajaan Pusat tidak memberikan kerjasama sewajarnya.
Difahamkan bahawa kerajaan yang diketuai Mukhriz ketika itu merancang untuk membina litar lumba bertaraf antarabangsa yang menelan belanja lebih RM70 juta yang bersifat mewah, namun rancangan tersebut mendapat bantahan ramai pihak.
Sumber menjelaskan bahawa bantahan tersebut dibuat atas alasan kebimbangan Kerajaan Negeri akan gagal menyelenggara litar lumba mewah yang berprestij seperti Litar Antarabangsa Sepang itu, dan peruntukan tersebut adalah lebih baik dijimatkan untuk kegunaan yang lebih bermanfaat untuk rakyat.
Ekoran itu, pembinaan litar tersebut tertangguh kira-kira 3 tahun sebelum ini, namun berjaya direalisasikan Ahmad Bashah walaupun hanya baru mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 4 Februari tahun lalu. - Kedahnews.com