KUALA LUMPUR - Penjenayah 'lone ranger' akhirnya dicekup selepas kegiatannya mencuri kenderaan Perodua Kancil sejak beberapa tahun lalu dibongkar.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek ditahan di kira-kira jam 5 petang, di Jinjang, 19 Ogos lalu.
Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek ini, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes membabitkan suspek berusia 33 tahun ini.
"Suspek ini agak licik kerana dia akan mencuri kenderaan jenis Perodua Kancil sebagai target utamanya.
"Hanya menggunakan alatan pemutar skru, suspek akan mengumpil kereta sebelum melarikannya," katanya dalam sidang media di Balai Jinjang, dekat sini, hari ini.
Tambah Munusamy, suspek yang bergerak secara sendirian sejak 2016 ini hanya mensasarkan aksesori di dalam kereta dan beberapa aksesori lain seperti spotrim sebelum menjualnya kepada individu tertentu.
Selepas mengambil aksesori berkenaan, kereta atau kenderaan yang dicurinya akan ditinggalkan di kawasan perumahan.
Katanya, semakan dapati enam kes membabitkan suspek di daerah Sentul dan selebihnya daerah Gombak.
"Kita telah merampas lapan buah kereta Kancil dan dua buah van jenis Nissan Vanette yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM50,000," katanya.
Jelasnya lagi, siasatan juga dapati suspek yang tidak bekerja ini memiliki empat rekod jenayah lampau.
"Suspek masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber: Sinar Harian