Longgokan 'Bantal Emas' Di Kendurian Shah Alam Dipercayai Dari Thailand


DURIAN yang dibawa untuk acara kendurian yang terpaksa dihentikan di Dataran Shah Alam, baru-baru ini bukanlah durian tempatan, sebaliknya daripada negara jiran.

Presiden Persatuan Peladang Buah-Buahan Malaysia, Hong Jok Hon berkata, disebabkan harga durian negara jiran lebih murah berbanding durian tempatan, tidak hairanlah penganjur mampu bawa begitu durian jenis 'bantal emas' itu untuk dimakan oleh orang ramai.

"Saya harap orang ramai jangan salah faham antara harga durian tempatan dengan harga durian negara jiran.

"Orang ramai mesti hairan kenapa penganjur boleh jual harga begitu murah, dengan setiap orang dewasa dikenakan RM19 dan kanak-kanak RM15 seorang.

"Mengikut apa disaksikan sendiri ahli-ahli kami, mereka mengesahkan durian dalam acara kendurian itu adalah durian negara asing, sebab itu boleh dijual dengan harga yang murah," katanya ketika ditemu bual  Sin Chew Daily.

Beliau menjelaskan, bagi durian 'bantal emas' yang disediakan dalam acara kendurian itu, kos tidak melebihi RM10 bagi sekilo berbanding durian tempatan yang berharga antara RM17 hingga RM18 sekilo.

Acara tersebut terpaksa dibatalkan selepas mendapati hanya 30 peratus daripada 20 tan stok durian bakal dihidangkan kepada orang ramai yang masak.

Sumber: Sinar Harian