KUALA LUMPUR - Semua 134 lorong tambah nilai di plaza tol lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) di seluruh negara, akan ditutup kepada pengguna mulai 29 Ogos hingga 4 September ini.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata ia bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada laluan plaza tol berkenaan sempena cuti Hari Kebangsaan dan Aidiladha, yang masing-masing akan disambut pada 31 Ogos dan 1 September ini.
Katanya, penutupan lorong dibuat selepas kajian mendapati setiap transaksi urusan tambah nilai mengambil masa sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan.
"Berdasarkan pemerhatian dan kajian PLUS, langkah menutup sementara semua perkhidmatan lorong tambah nilai pada musim perayaan lalu berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol.
"Langkah sama diambil PLUS pada cuti sambutan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina yang lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Azman menasihati pengguna lebuh raya supaya memastikan kad masing-masing mempunyai baki mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
"Sebelum memulakan perjalanan, pengguna dinasihatkan menambah nilai kad yang boleh didapati di 9,200 lokasi antaranya kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak atau mesin juruwang automatik (ATM) seluruh negara," katanya.
Sumber: BH Online