Mahathir Buat Tohmahan Untuk Pecahbelahkan UMNO - Mahdzir Khalid


PASIR MAS - Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid melihat tohmahan dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan negara ketika ini hanya bertujuan untuk memecahbelahkan UMNO semata-mata.

Beliau berkata bekas perdana menteri itu sebenarnya tidak mempunyai bukti bagi setiap tuduhan yang dilemparkannya termasuk terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Dr Mahathir sengaja (buat tuduhan) sebab dia cuba nak kucar-kacirkan UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Pasir Mas di sini, semalam. 

Hadir sama Ketua UMNO bahagian Pasir Mas Senator Datuk Hanafi Mamat.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata beliau melihat pakatan pembangkang kini sedang mencari-cari identiti mereka dan pakatan yang dibuat mereka adalah goyah.

"Kalau boleh mereka nak seorang sahaja yang bercakap bagi pihak parti tapi sekarang semua masih bercakap (keluarkan kenyataan) dan sampai waktu ini kita tak nampak mereka boleh berada dalam satu platform.

"Masing-masing ada agenda tersendiri dan saya tak fikir DAP sanggup berkorban kerana kita tahu parti itu yang mendominasi pakatan ketika ini," katanya.

- Bernama