Mahkamah India Larang Talak Tiga


NEW DELHI – Mahkamah Agung India semalam memutuskan bahawa undang-undang perceraian Islam yang membenarkan talak tiga adalah bercanggah dengan perlembagaan negara.

Undang-undang tersebut membenarkan lelaki Islam menceraikan isteri mereka dengan melafazkan perkataan talak sebanyak tiga kali.

Sebilangan wanita Islam sebelum ini berkata bahawa keadaan mereka melarat selepas diceraikan menggunakan talak tiga oleh suami masing-masing termasuk melalui aplikasi WhatsApp dan Skype.

Perceraian talak tiga menyebabkan pasangan suami isteri terbabit tidak boleh rujuk kembali.

Isu tersebut mendapat perhatian di India susulan aduan mengenainya oleh Shayara Bano.

Suami wanita itu menceraikannya melalui sepucuk surat pada tahun 2015.

Susulan penceraian mereka, Shayara mengadu kepada mahkamah tertinggi India itu untuk memutuskan perkara tersebut.

Majoriti panel lima hakim daripada agama utama di India termasuk Hindu, Kristian, Islam, Sikh dan Zoroaster memutuskan bahawa talak tiga tidak perlu dalam amalan agama dan melanggar etika moral.

Shayara kemudian berkata, keputusan tersebut merupakan detik bersejarah bagi wanita Islam.

"Saya merayu kepada orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu ini dan menerima keputusan Mahkamah Agung tentang talak tiga," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

India mengamalkan dasar sekular dan merupakan salah satu daripada beberapa negara yang membenarkan talak tiga.

Amalan itu diharamkan di Bangladesh.

India membenarkan institusi keagamaan menguruskan isu perkahwinan, penceraian dan harta pusaka dalam negara yang berbilang agama.

Ia membenarkan talak tiga sebagai kaedah perceraian dalam kalangan 180 juta penduduk Islam di negara itu.

Namun, kerajaan nasionalis di bawah teraju Perdana Menteri, Narendra Modi menyokong petisyen terhadap talak tiga di mahkamah.

Beliau menyifatkan perceraian talak tiga melanggar perlembagaan dan mendorong diskriminasi terhadap wanita.

Parti pimpinan Modi, Bharatiya Janata yang mentadbir penduduk India daripada berbilang agama dikatakan sudah lama mahu melaksanakan kod sivil seragam di negara itu.

Usaha mengharamkan perceraian talak itu ditentang oleh sebuah kumpulan gabungan daripada beberapa pertubuhan Islam dikenali sebagai Lembaga Undang-undang Persendirian Muslim Seluruh India.

Sumber: Kosmo