Mahu Berbaik Semua Dengan PAS, PKR Kelantan Bakal Pecah Dua?


KOTA BHARU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan dikatakan menghadapi krisis dalaman dan kemungkinan akan berpecah dua selepas tindakan parti itu mahu kembali bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU14.

 Ini berikutan pemimpin tertinggi PKR  dilihat lebih cenderung mahu  bekerjasama dengan  kerajaan negeri  pimpinan PAS itu terutama dalam pembahagian kerusi tanpa merujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

PKR juga sebelum membuat pusingan U apabila membatalkan arahan awal yang mahu ahli PKR tidak menerima lagi jawatan lantikan politik yang ditawarkan oleh kerajaan PAS Kelantan.

Tindakan pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir yang dikatakan mahu rapat dengan PAS, dipercayai mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin parti itu yang lain.

Gambaran kewujudan dua kumpulan lebih kuat apabila Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan malam tadi membuat memorandum bagi mendesak ketuanya, Mohd Hafidz Rizal Amran melepaskan jawatan.

Menurut sumber Berita Harian, desakan terbabit dibuat apabila Ketua AMK Kelantan itu dilihat menjadi antara pimpinan negeri yang menyokong kuat hasrat Ab Aziz.
"Hafidz lebih cenderung mahu mengekalkan lantikan politik negeri sebagai jawatan Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah, sedangkan majoriti jawatankuasa AMK enggan meneruskan kerjasama dengan PAS di Kelantan," kata sumber itu.

Bagaimanapun, Naib Ketua AMK Kelantan, Mohd Khairul Amin Abdul Rahman dalam sidang media sebentar tadi selepas menyerahkan memorandum kepada wakil AMK Pusat enggan mendedahkan punca sebenar Mohd Hafidz Rizal hilang sokongan majoriti jawatankuasa AMK negeri.

Malah beliau turut menegaskan AMK Kelantan menyokong kepimpinan Ab Aziz selaku Pengerusi PKR negeri ini.

"Desakan ini dibuat kerana beliau telah hilang sokongan majoriti kami yang mewakili Ketua AMK Cabang di Kelantan.

"Dalam mesyuarat malam ini, kami juga mendesak Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad supaya melantik seorang Ketua AMK Kelantan yang baharu," katanya.

Tindakan pucuk pimpinan PKR untuk membuka berunding dengan PAS menyebabkan sekutu PKR, Parti Amanah Negara (PAN)  'bermasam muka ' kerana PAN sebelum ini telah menghebahkan untuk mengambilalih pentadbiran PAS Kelantan selepas  PRU akan datang .- Kedahnews.com