Majikan Terkejut Jumpa Mayat Pekerja Di Pendang


PENDANG - Dua lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30 tahun ditemui mati oleh majikan mereka dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Delima, Taman Delima, Mukim Air Putih, di sini, pagi kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11 pagi.

“Berdasarkan laporan, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang merupakan majikan kedua-dua mangsa telah ke lokasi kejadian untuk menemui tiga pekerjanya.

"Difahamkan, tiga pekerjanya itu tinggal di rumah berkenaan sementara menyiapkan binaan rumah terbabit," katanya.

Fadzil berkata, menurut majikan berkenaan yang merupakan seorang kontraktor, sebaik tiba di lokasi, dia tidak nampak pekerjanya di luar.

"Dia kemudian masuk ke dalam rumah lalu naik tingkat satu dan masuk ke sebuah bilik.

"Sebaik pintu dibuka, dia melihat dua pekerjanya terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan di kepala manakala seorang lagi pekerjanya berusia lingkungan 30-an gagal dikesan," katanya. 

Menurutnya, polis kemudian ke lokasi kejadian bagi menyiasat dan menemui dua barang kes iaitu sebatang pemotong besi serta sebilah pisau kecil.

“Hasil temu bual dengan kontraktor itu juga mendapati, seorang lagi pekerjanya menghilangkan diri.

“Kali terakhir dia bertemu dengan pekerjanya itu adalah pada Rabu sekitar jam 4 petang atas urusan untuk membayar gaji kepada pekerjanya,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mayat lelaki terbabit dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Online