Malaysia Hormat Semua Pasukan


STATUS sebagai tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bukan jaminan buat skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara berada dalam keadaan selesa menjelang aksi pembukaan Kumpulan A menentang Brunei malam ini.

Sebaliknya, ketua jurulatih B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, skuad kendaliannya sentiasa memandang serius semua perlawanan termasuk aksi menentang Brunei di Stadium Shah Alam nanti.

Katanya, setiap pasukan yang bersaing pada peringkat kumpulan memiliki kualiti tersendiri dan Brunei yang mendapat sentuhan jurulatih Korea Selatan, Kwon Oh Son mampu menghadirkan ancaman buat skuad remaja negara.

“Apa yang boleh saya katakan, aksi menentang Brunei tidak akan menjadi satu perlawanan yang mudah untuk kita tetapi saya percaya pemain-pemain kita akan tampil dengan rentak terbaik.

“Malaysia menghormati se­tiap pasukan lawan dan saya percaya peluang terbuka kepada semua tetapi saya ambil pendekatan untuk fokus terhadap satu demi satu perlawanan,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur semalam.

Skuad negara pastinya mengintai ‘ibu segala pingat’ Sukan SEA itu menjadi milik kontinjen negara memandangkan kali terakhir Malaysia memenanginya pada edisi 2011 selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia pada perlawanan akhir.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Melaka itu juga memasang impian untuk melangkah ke perlawanan akhir seterusnya memenangi emas memandangkan Malaysia akan beraksi di laman sendiri serta menerima sokongan padu penyokong tempatan.

“Persiapan setakat ini berjalan lancar dan saya percaya setiap pasukan bertanding juga sedang bertungkus lumus menyiapkan pasukan masing-masing. Sudah pasti semua pasukan idamkan pingat emas.

“Bagaimanapun, kita yang ber­aksi sebagai tuan rumah sudah tentu mengharapkan aksi terbaik dan melangkah ke perlawanan akhir. Apabila layak ke perlawanan akhir, kami akan mula mengalih fokus kepada sasaran yang lebih besar,” tambah Kim Swee.

Sementara itu, Oh Son mene­gaskan, anak-anak buahnya kini sudah bersedia untuk membuat perhitungan dengan Malaysia memandangkan mereka telah menjalani latihan sejak Januari lalu selain diperkuatkan bekas pemain remaja Chelsea, Faiq Bolkiah.

“Barisan pemain saya sudah bersedia sepenuhnya, lebih-lebih lagi sudah serasi bersama kerana menjalani latihan sejak Januari lalu.

“Saya fikir kelebihan kami adalah menerusi kekuatan fizikal dan mental,” ujarnya.

Sumber: Sinar Online