Malaysia Perlu Kekal Rentak Kemenangan Bertemu Singapura Malam Ini


KUALA LUMPUR - Malaysia perlu meneruskan rentak kemenangan ketika berdepan Singapura pada Rabu dalam aksi kedua kumpulan A saingan bola sepak temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

Tiga mata penuh ketika berdepan skuad ‘Kota Singa' itu sudah pasti akan membuka laluan lebih selesa kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee yang berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Brunei, Isnin untuk melangkah ke pusingan separuh akhir.

Singapura yang dibimbing Richard Francis Emile Tardy sudah pasti akan membariskan kesebelasan terbaik bagi memburu tiga mata pertama selepas dikecewakan oleh finalis edisi 2013, Myanmar 0-2 dalam aksi pembukaan kumpulan, Isnin.

Pada perlawanan esok (Rabu), penyerang muda berusia 18 tahun Singapura, Ikhsan Fandi antara yang perlu diberi perhatian barisan pertahanan negara.

Ikhsan yang merupakan anak kepada ikon bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, disifatkan sebagai penyerang ‘semula jadi' apabila mempunyai kemampuan untuk membuat larian pantas selain menggunakan kelebihan fizikal untuk mengawal bola dan kebolehan melakukan rembatan kencang ke arah pintu gol lawan.

Bagaimanapun, Kim Swee yang berjaya membawa pasukan negara memenangi pingat emas sewaktu Sukan SEA 2009 sudah pasti akan menggunakan pengalaman luas yang dimiliki bagi merencana agenda untuk mengatasi skuad ‘muda' Singapura yang kali terakhir mara ke final 28 tahun lalu.

Perlawanan pada Rabu merupakan pertembungan kali keenam kedua-dua pasukan pada temasya dwitahunan itu dalam tempoh 20 tahun dengan statistik menunjukkan Malaysia dan Singapura masing-masing berjaya meraih satu kemenangan dan seri dalam tiga pertemuan terakhir.

Edisi 1999 di Brunei menyaksikan skuad negara kalah 1-2 kepada Singapura dalam aksi kumpulan, namun berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas negara 'Kota Singa' itu empat tahun kemudian pada edisi 2003 di Vietnam.

Tiga keputusan seri dicatat kedua-dua pasukan ketika bertemu dalam saingan kumpulan pada edisi 2007, 2011 dan 2013.

Keputusan seri 1-1 pada tahun 2007 dalam aksi terakhir kumpulan menyaksikan Malaysia terpaksa berputih mata selepas dipisahkan hanya satu mata dengan Singapura yang berjaya layak ke pusingan separuh akhir.

Selepas menentang Singapura, skuad negara akan membuat perhitungan bersama Myanmar pada 21 Ogos sebelum menutup saingan kumpulan berdepan Laos (23 Ogos).

Kesemua perlawanan membabitkan skuad negara akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam. - BERNAMA