Malaysia Sah Hantar Kontinjen Negara Terbesar Dalam Sejarah Sukan SEA


KUALA LUMPUR - Malaysia disahkan menghantar kontinjen terbesar yang akan beraksi dalam Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur (KL2017) yang membuka tirai dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan akan menghantar 844 atlet iaitu 469 atlet lelaki dan 375 alet wanita, sekali gus menjadikan penglibatan atlet negara sebagai yang terbesar dalam sejarah temasya dwitahunan itu.

Setiausaha Kehormat, Datuk Low Beng Choo berkata Thailand membariskan kontinjen atlet kedua terbesar dengan 818 atlet.

"Kalau dilihat daripada jumlah keseluruhan, Thailand adalah kontinjen terbesar dengan melibatkan seramai 447 pegawai manakala kontinjen Malaysia pula disertai oleh 390 pegawai, " katanya.

Untuk edisi ke-29 kali ini, Thailand menghantar kontinjen terbesar dengan 1,265 orang (atlet dan pegawai) dan diikuti Malaysia (1,234), Indonesia (948), Singapura (840), Filipina (762), Vietnam (684), Laos (293), Kemboja (261), Brunei (172) dan Timor-Leste (69).

Bagaimanapun jumlah kontinjen Myanmar hanya akan dimuktamadkan hari ini, kata Beng Choo selepas mesyuarat majlis eksekutif MOM di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut beliau semua kontinjen akan ditempatkan di hotel seluruh ibu negara selain turut membahagikan atlet mengikut 11 kluster sukan.

Hotel terkemuka yang terlibat ialah Hotel Renaissance Kuala Lumpur sebagai penginapan rasmi kontinjen Malaysia; Hotel Royal Chulan (Brunei); Hotel Sunway Putra (Kemboja dan Filipina); Hotel The Royale Chulan Bintang (Indonesia); Hotel Swiss Garden (Laos); Hotel Federal Kuala Lumpur (Myanmar); Hotel Double Tree by Hilton (Singapura); Hotel Istana (Thailand) serta Hotel Berjaya Times Square (Timor-Leste dan Vietnam).

Sementara itu, beliau berkata acara Chinlone dalam sukan sepak takraw kekal menjadi taruhan pingat emas pertama pada KL2017 pada 16 Ogos di Stadium Titiwangsa.

"Dua acara iaitu Chinlone dan memanah akan menawarkan pingat pada hari berkenaan. Tapi Chinlone dijangka habis terlebih dahulu dan pingat pertama akan hadir dari acara berkenaan," katanya. - BERNAMA