Mayat Cedera Belakang Leher Dan Tanpa Identiti Ditemui Di Sungai Sedim


ALOR SETAR - Gempar! Penduduk kampung menemui satu mayat lelaki ditemui di Sungai Sedim berdekatan Kampung Bagan Sena, Kulim dengan kesan cedera di belakang lehernya dan tanpa identiti.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, penduduk kampung yang secara kevetulan melalui kawasan sungai terbabit untuk memancing menemui badan mayat tersebut kira-kira jam 6 petang semalam.

Tambahnya, pihak polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat lelaki yang lengkap berpakaian baju kemeja T berwarna biru serta seluar panjang warna hitam itu.

Mayat dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an.

"Penduduk kampung yang ingin memancing terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tersembam dan terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian terbabit.

"Polis yang menjalankan siasatan mendapati mayat mempunyai sedikit kesan kecederaan pada belakang leher sepanjang empat sentimeter namun punca sebenar kecederaan itu masih dalam siasatan.

"Siasatan awal polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut dan mayat dipercayai sudah beberapa hari kerana keadaannya yang sudah kembung," katanya.

Mayat tersebut kini telah dihantar ke  Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

"Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh dua atau tiga hari lalu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di talian 04-4916999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. - Kedahnews.com