BANGUN pagi, perkara pertama yang akan dicapai adalah telefon pintar, seterusnya tangan akan membuka sosial media untuk melihat perkembangan 'rakan-rakan'.
Setelah mengambil masa lebih 15 minit barulah bangun mencapai tuala dan memulakan aktiviti pagi, itupun, tangan masih lagi tidak lekang dengan telefon pintar.
Dengan teknologi kini, semua orang boleh dikatakan obses dengan telefon pintar dan media sosial, sebut sahaja Facebook, Instagram, Twitter, Snapchat, Whatsapp dan banyak lagi, hampir semua orang mempunyainya.
Kehidupan harian juga tidak lengkap sekiranya anda tidak menjengah ke media sosial tersebut, malah Whatsapp juga sudah menjadi medium penghubung menggantikan sistem khidmat pesanan ringkas.
Dalam satu kajian daripada Universiti Pittsburgh telah memberi amaran bahawa penggunaan media sosial ini membuatkan kita kesepian.
Apabila kita berterusan menyaksikan kehidupan orang lain yang gembira, ada ramai kawan sedangkan kita keseorangan menghadap media sosial.
Dalam kajian tersebut menunjukkan seramai 1,787 orang dewasa berumur 19 hingga 32 tahun menggunakan 11 laman media sosial iaitu Facebook, Youtube, Twitter, Instagram, Pinterest, Google Plus, Snapchat, Reddit, Tumblr, Vine dan Linkedin.
Bagaimanapun, individu yang melawat laman media sosial ini melebihi 58 kali seminggu berkemungkinan merasai kesunyian sebanyak tiga kali ganda berbanding dengan mereka yang hanya melawat kurang dari sembilan kali.
Ketua kajian yang merupakan profesor di Fakulti Perubatan, Profesor Brian Primack mendakwa manusia merupakan makhluk sosial secara semula jadi akan tetapi dunia moden kini cenderung mengasingkan kita daripada menyatukan umat manusia.
"Walaupun media sosial kelihatan seperti mengisi kekosongan dalam diri kita namun saya melihat kajian ini menunjukkan bahawa ia bukanlah penyelesaian buat segalanya.
"Dan salah satu dilema terbesar adalah bagaimana media sosial ini membuatkan kita seolah-olah sibuk dan mempunyai kehidupan, ia tidak akan membiarkan kita keseorangan sedangkan kita sebenarnya memang seorang diri di dalam dunia maya," katanya.
Tambahnya lagi, masalah ini tidak pernah wujud sebelum munculnya media sosial.
"Mereka yang hidup sebelum zaman media sosial tahu apa yang telah kita hilang, dahulu memang sudah wujud perkara seperti 'fear of missing out' (Fomo) iaitu takut ketinggalan sesuatu berita namun ia tidaklah seteruk hari ini.
"Tidak dinafikan, Fomo wujud namun tidak ada sehingga menyebabkan depressi. Hari ini, laman media sosial dipenuhi dengan manusia yang berlumba-lumba untuk menang, siapa mempunyai percutian terbaik, hadiah hari jadi terbesar dan sebagainya.
"Ini adalah masa depan anak-anak kita kelak, saya tidak terkejut jika akan datang, manusia boleh membalikkan antara rangsangan media tetap dan detoks digital tanpa mempunyai keinginan sebenar," tambahnya.
Beliau melihat kesan daripada semua ini adalah kesepian generasi muda akan hilang dan digantikan dengan keperluan perhatian secara berterusan malah ada juga yang dahagakan pengikut yang ramai dan populariti.
Sumber: Sinar Harian