Mengapa Rakyat Korea Selatan Bencikan Jepun?


SERINGKALI kita melihat kebencian rakyat Korea Selatan khususnya warga tua mereka kepada bangsa Jepun berikutan 'parut' luka Perang Dunia Kedua.

Walaupun dunia semakin berkembang, bukan mudah bagi rakyat negara tersebut melupakan apa yang terjadi kepada nenek moyang mereka dahulu.

Tahun ini sahaja, terdapat insiden penyanyi dari Korea Selatan tidak sengaja menggunakan simbol matahari terbit (simbol bendera Jepun) dan menimbulkan kemarahan penduduk negara itu.

Dalam memahami luka di hati rakyat Korea Selatan, sebuah filem adaptasi kisah benar bertajuk 'The Battleship Island' menceritakan tentang penderitaan rakyat negara itu yang dipaksa menjadi pekerja lombong dan diseksa oleh tentera Jepun.

Lebih malang, golongan wanita dan kanak-kanak perempuan dipaksa menjadi pelacur dan pemuas nafsu tentera Jepun.

Terdapat beberapa karakter di dalam filem tersebut yang masing-masing menceritakan kisah sendiri antaranya pemuzik, Lee Kang-Ok (dilakonkan oleh Hwang Jung-min) dan anaknya Lee So-hee( Kim Su-an) yang berusaha untuk meneruskan kehidupan dalam kesempitan.

Kemudiannya, karakter Choi Chil-sung (So Ji-sub) seorang samseng jalanan dari Seoul namun mempunyai hati yang baik dan Oh Mal-nyeon (Lee Jung-hyun) yang dipaksa menjadi pelacur.

Semua karakter ini ada satu matlamat iaitu untuk menambah baik hidup mereka, hingga terpedaya dengan janji manis pihak Jepun yang menjanjikan pekerjaan dengan pendapatan lumayan di Jepun.

Saat tiba di pelabuhan, mereka dikejutkan apabila dibawa  ke Pulau Hashima, seterusnya diseksa dan dipaksa bekerja dengan gaji sedikit.

Saat itu, masing-masing terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan.

Ketika harapan makin tipis, muncul tentera pembebasan Korea Selatan, Park Moo-young (Song Joong-ki) yang ditugaskan untuk menyelamatkan seorang ketua pejuang, namun kemudiannya mengetuai misi melarikan diri dari pulau tersebut.

Pengarah filem, Ryoo Seung-wan menceritakan secara terperinci dari bermulanya perangkap pihak Jepun hinggalah bagaimana rakyat Korea Selatan di sana bangkit melawan tentera Jepun dalam usaha menyelamatkan diri dari terus ditindas.

Laluannya bukan mudah apabila terdapat dalam kalangan mereka memilih menjadi tali barut Jepun dan sanggup mengkhianati rakyat Korea Selatan  asalkan kehidupan terjamin.

Turut diselitkan di dalam filem tersebut adalah adegan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki  yang membunuh kira-kira 129,000 orang serta menyaksikan kejatuhan tentera Jepun, ketika itu.

Sepanjang dua jam menonton filem ini, penulis dapat merasai keperitan dan kejerihan rakyat di pulau tersebut untuk hidup.

Lebih menyedihkan,  kanak-kanak turut diseksa dan digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak Jepun.

Satu demi satu kekejaman tentera Jepun dipertontonkan membuatkan penonton dapat menyelami keperitan mereka yang terperangkap di sana.

Diluah mati emak, ditelan mati bapa, begitulah yang dirasai rakyat Korea Selatan di sana.

Jika melarikan diri, pasti dibunuh jika tertangkap, tetapi jika tinggal di situ pula, lambat laun akan menemui ajal.

Terdapat fakta mengatakan kanak-kanak lelaki yang berada di pulau itu digunakan untuk menyusup masuk ke dalam gua yang tidak dapat dimasuki lelaki dewasa.

Kebanyakkan mereka mati akibat kekurangan zat makanan atau disebabkan kemalangan seperi kebocoran gas di lombang.

Pulau Hashima atau lebih dikenali sebagai 'Battleship Island' (Gunkajima) kerana bentuknya menyerupai kapal perang, sebelum ini merupakan lombong arang batu dasar laut.

Rakyat Korea dan tawanan perang dari China dipaksa bekerja sebagai buruh paksa di bawah dasar pengerahan perang Jepun.

Bermula pada 1930 hingga akhir Perang Dunia Kedua, dianggarkan kira-kira 1,300 pekerja buruh meninggal dunia di pulau tersebut atas pelbagai faktor seperti kemalangan, keletihan, kekurangan zat makanan.

Ada di antara mereka dibunuh dengan kejam kerana cubaan melarikan diri.

Setelah petroleum menggantikan arang batu di Jepun pada 1960, lombong arang batu di seluruh negara mula ditutup. Pulau Hashima ditutup secara rasmi pada 1974.

Pada 2009, Jepun mencadangkan Pulau Hashima sebagai salah satu tapak warisan Unesco namun ditentang oleh Kerajaan Korea Selatan berikutan insiden yang berlaku di pulau tersebut.

Namun begitu, setelah berkompromi dan Jepun bersetuju untuk memasukkan penggunaan buruh paksa dalam sejarah tempat itu serta turut mengakui dan memberikan penghormatan kepada rakyat  Korea Selatan yang terkorban di situ, mereka menarik semula bantahan.

Pada Julai 2015, Pulau Hashima diluluskan untuk dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia Unesco.

Sumber: Sinar Harian