Merdeka 60 Tahun: Tentangan Bapa, Tinggalkan Karier Peguam Demi Gunung


TINGGALKAN karier sebagai peguam, tidak mendapat restu daripada ayah -- itu antara pengorbanan dan cabaran besar dilalui salah seorang pendaki Misi Srikandi Prihatin ke Gunung Elbrus, Ummu Farah Haidar Zulkifli.

Berkongsi kisah Ummu Farah, 30 tahun, atau lebih mesra dipanggil Maira pernah menjadi peguam selama dua tahun.

Namun atas kekangan masa, terutama dalam menghadiri latihan pendakian, Maira mengambil keputusan untuk mencari kerja yang lebih sesuai bagi memenuhi kehendak jadualnya.

Meminati sukan lasak sejak sekolah, Maira juga pernah berkhidmat sebagai seorang askar wataniah sebelum beralih arah kepada pengurusan syarikat El Hebat Sdn Bhd.

Dalam pada itu, tidak semua mengetahui bahawa minatnya terhadap aktiviti pendakian gunung ini tidak mendapat sokongan daripada keluarga, termasuk daripada ayahnya.

Ayah Maira seorang yang sangat menitikberatkan soal agama dalam kehidupan mereka adik beradik. Beliau bimbang Maira tidak dapat melaksanakan solat lima waktu dengan sempura, selain batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Maira menambah ayahnya juga tidak menganggap pendakian Maira ini sebagai satu jihad.

"Ini bukan satu jihad, Long. I'm not sure if I'm going to support you. Tak kisah financially, sebab ini bukan satu jihad.

"Saya tak pasti dia restu ke tak, tapi dia kata 'nak pergi, pergi lah. Kalau mati dekat sana macam mana. Ini bukan jihad.'"


Mengakui minatnya pada pendakian bukan sesuatu yang biasa dalam keluarga, namun beliau percaya apa yang dilakukannya adalah untuk tujuan murni.

Bagi Maira, sepanjang mengikut pendakian, beliau tiada masalah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim apabila tiba waktu solat jika mempunyai kelengkapan air yang cukup.

Maira juga berkongsi rahsia di mana beliau akan membawa satu botol air yang mempunyai kata-kata semangat dan motivasi dan hanya akan minum air daripada botol itu di akhir larian atau pendakian.

Maira dijangka tiba di puncak Gunung Elbrus pada 31 Ogos ini dan memacak Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan Malaysia.

Sumber: Astro Awani