TEMERLOH - MIC bertegas dengan pendirian mereka supaya kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata Cameron Highlands telah menjadi kerusi tradisi kepada MIC sejak dahulu, dan parti itu bercadang meneruskan tradisi itu, selain turut berhasrat bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai di Bentong.
Kerusi Parlimen itu kini dipegang bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.
"Kita telah memberitahu kepimpinan Barisan Nasional (BN) bahawa ia (Cameron Highlands) kena dikekalkan sebagai kerusi MIC walaupun ada parti lain yang menunjukkan minat untuk bertanding di situ.
"Jentera pilihan raya MIC juga sudah bergerak di Cameron Highlands dan Sabai dan akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN.
"Saya sudah jelaskan mengenai hal ini kepada kerajaan Pusat dan juga di peringkat negeri Pahang dan saya ingat mereka semua sudah terima (keputusan ini)," katanya pada sidang media selepas merasmikan KonvensyenKe-71 MIC Pahang di Dewan Tun Razak di sini, pada Isnin.
Dr Subramaniam bagaimanapun mengakui parti itu masih belum memilih calon yang sesuai untuk bertanding di Cameron Highlands.
Mengulas mengenai persiapan MIC menjelang PRU14, Dr Subramaniam berkata MIC sudah mengenal pasti dan sedang melakukan saringan calon-calon yang sesuai untuk bertanding di sembilan kerusi Parliman dan 19 kerusi DUN, sebelum nama mereka boleh diumumkan.
"50 hingga 60 peratus calon yang sedang dikenalpasti adalah muka baharu," katanya.
Selain itu, Dr Subramaniam juga berharap kerajaan negeri Pahang akan membantu kaum India dalam pembangunan sektor pertanian termasuk aspek pemberian tanah dan bantuan barangan supaya dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka.
"Dalam Pelan Tindakan (Blueprint) Masyarakat India Malaysia, Pahang dicadang untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian.
"Saya harap dapat bantuan khususnya dalam bidang penternakan lembu tenusu kerana kaum India secara tradisi memang berpengalaman dan boleh menyumbang dalam industri ini," katanya. - BERNAMA