PETALING JAYA - Bakal berdepan Indonesia yang akan beraksi tanpa tiga tonggak utamanya menjelang aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) malam Sabtu, Adib Zainuddin mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang mudah kemampuan lawan.
Kapten pasukan negara yang beraksi di posisi pertahanan berkata, pertemuan menentang Indonesia disifatkan sebagai misi penting untuk Malaysia dalam memburu slot ke final.
"Kami tak boleh merasa selesa dan ambil mudah kekuatan Indonesia pada aksi malam esok. Apa yang dapat kami lihat, pemain Indonesia mempunyai semangat juang yang tinggi.
"Jadi kita perlu waspada setiap ancaman pemain Indonesia terutamanya jentera serangan mereka. Mereka sangat bagus dan boleh menjaringkan gol," katanya kepada pemberita selepas sidang media pra perlawanan di sini, Jumaat.
Malah Adib berkata, peluang Malaysia untuk memenangi pingat emas amat cerah dan beliau yakin pasukan tuan rumah boleh mencipta kejutan di laman sendiri.
"Kita sudah melepasi peringkat separuh akhir. Ini menunjukkan kita berada di jalan yang betul untuk melangkah ke final. Sasaran pingat emas sentiasa menjadi objektif utama pasukan," katanya.
Biarpun Malaysia pernah menewaskan Indonesia 3-0 pada aksi kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok, bulan lalu, Adib menjelaskan keputusan itu tidak seharusnya dijadikan pengukur dalam saingan kali ini.
Sumber: Mstar Online