Murid Mati Disyaki Dipukul: Pegawai Pendidikan Akan Ke Lokasi Kes


KUCHING - Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kapit diarah membuat siasatan di lokasi kes kematian seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ibun di Kapit, kelmarin.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon, berkata PPD serta beberapa pegawainya akan ke sekolah di pedalaman Kapit itu, hari ini

"Kita mahu memastikan sama ada benar atau tidak mangsa mengalami kecederaan itu selepas didakwa dipukul oleh murid lain.

"Saya sudah bercakap dengan PPD Kapit dan meminta beliau menyiasat perkara sebenar dengan pergi ke sekolah itu," katanya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, Jackson Nuing Awe, 7, disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu selepas dua hari menerima rawatan termasuk menggunakan alat bantuan pernafasan.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan dan kesan lebam di badan, dipercayai akibat dipukul.

Berikutan itu, seorang murid lelaki Tahun Enam yang tinggal di asrama sama dengan mangsa, ditahan polis selepas menerima laporan daripada bapa Jackson.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan.

Sumber: BH Online