Muslimat PAS Puji Kejayaan Skuad Negara Di Sukan SEA


TIDAK seperti parti pembangkang dalam Pakatan Harapan yang mempersoalkan belanja perasmian Sukan SEA 2017 dengan mengaitkannya dengan wang GST,  PAS pula mengambil pendekatan lebih berhemah termasuk memberi ucapan tahniah di atas kejayaan skuad negara.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merakamkan ucapan tahniah kepada skuad negara yang memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir bola jaring ketika menentang Singapura dengan keputusan 65-41 di Stadium Juara Bukit Kiara, kelmarin

DMPM juga memuji inisiatif murni skuad bola jaring Malaysia yang tampil berpakaian sopan dalam setiap perlawanan mereka di Sukan SEA tahun ini.

Ketuanya, Nuraidah Mohd Salleh berkata pasukan Malaysia telah menunjukkan aksi yang cukup hebat dengan ketangkasan semua pemain serta kerjasama yang kuat antara pasukan telah membuahkan hasil yang terbaik.

"Jaringan cantik, balingan tepat, laju dan pantas telah memberikan kelebihan dan kemenangan buat pasukan Malaysia, " katanya yang dipetik daripada Harakahdaily hari ini .

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allâh daripada Mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan.” (Maksud hadis riwayat Muslim), kata beliau lagi.

Semoga semangat kesukanan yang disulami dengan ciri-ciri kesopanan dan kesusilaan begini terus mekar dalam arena sukan negara.

Tahniah sekali lagi buat pasukan bola jaring Malaysia yang hebat! Bangkit Malaysia!, kata Nuraidah dengan penuh semangat.

Sehingga petang Selasa 22 Ogos, Malaysia masih unggul di tangga teratas dengan memungut 32 emas, 23 perak dan 15 gangsa dengan jumlah pingat terkumpul 70, meninggalkan Singapura yang menduduki tempat kedua dengan pungutan 14 pingat emas. Selaku tuan rumah, Malaysia menyasarkan 111 pingat emas pada temasya kali  ini.  Kedahnews.com