Najib, Hishammuddin Tahu Tujuan Perjumpaan Zahid - Mahathir


ALOR SETAR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Hussien  tahu mengenai perjumpaan yang diadakan antara Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad 10 hari selepas Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri pada 2015.

Malah Ahmad Zahid sendiri memberitahuperjumpaannya dengan Dr. Mahathir itu mendapat kebenaran Perdana.  

"Zahid jumpa Tun Mahathir sebagai tanda hormat dan ingin mengetahui apa yang terbuku dalam hati Tun. Jadi di sini sudah tiada isu lagi," kata Hishammuddin.

Mernteri Pertahanan itu berkata, oleh itu tiada keraguan dan syak wasangka langsung bahawa Dr Mahathir ialah individu yang hendak menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri sepertimana didedahkan Ahmad Zahid.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tiga hari lepas mendedahkan beliau mempunyai bukti dalam bentuk rakaman perbualan antaranya dengan Dr. Mahathir pada perjumpaan itu.

Menurut Hishammuddin lagi, Dr Mahathir selama 22 tahun memerintah banyak melakukan kesilapan dan sekarang beliau berusaha mencari kesalahan pemimpin  kerana mempunyai agenda tersendiri.

"Janganlah kita ikut rentak pembangkang. Mereka bukanlah malaikat yang tidak pernah buat salah," katanya dan menambah Dr Mahathir turut dilabel dengan pelbagai gelaran tidak baik selama beliau menjadi perdana menteri.

Serentak dengan itu beliau tidak mahu wujud rasa sangsi di kalangan ahli UMNO dan rakyat tentang hubungan baik dengan Najib dan Zahid.

Kata beliau persefahaman antara dirinya dengan Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri amat kukuh dan usaha pembangkang untuk melagakan mereka tidak akan berjaya.

"Kami mempunyai persefahaman amat mendalam. Ada amanah untuk menjaga parti selaku tunjang dan tonggak kerajaan yang kami bertiga perlu pikul dengan serius dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak melaga-lagakan kami," katanya.

Beliau yakin selepas ini pemimpin-pemimpin UMNO yang lain pun akan diserang oleh pembangkang apatah lagi menjelang PRU14.

"Nasihat saya jangan layan tetapi kita tidak boleh diam diri, kena jawab juga," katanya pada sidang media lepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di Kangar semalam. - Kedahnews.com