Nama Saja Manja, Muka Tak Manja Pun


SUNGAI PETANI - Sejak kecil sudah terbiasa dengan nama-nama unik menyebabkan Manja Pa, 54, tidak pernah bertanyakan kepada ibu bapanya kenapa memilih nama itu untuk diberikan kepada seorang anak lelaki.

Pesara tentera berusia 54 tahun itu bagaimanapun mengakui serasi dengan nama diberikan kerana sejak kecil Manja lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Itam’ oleh ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan.

“Apabila menginjak remaja atau sejak kanak-kanak lagi, tak pernah pula rasa malu atau marah sebab memang tidak ada rasa apa-apa pun, tambahan pula ahli keluarga lain pun ramai yang namanya unik,” katanya, ketika ditemui, di rumahnya di Amanjaya.

Menurut anak kelahiran Langkawi ini, ayahnya yang juga pesara tentera bernama Pa Nayan berketurunan Jawa manakala ibunya, Molek Saad berketurunan Siam.

“Nenek saya, iaitu mak kepada ayah pula bernama Mone, jadi kami 15 beradik tidak pernah rasa pelik dengan nama yang di luar kebiasaan. Abang saya namanya Kelana dan berkahwin dengan isterinya yang bernama Dara. Kakak sulung juga mempunyai nama yang ringkas iaitu Laila,” katanya.

Manja berkata, nama lain yang dianggap unik adalah adiknya, iaitu Che Senu dan Oon, dan selepas itu kesemua adik-adik diberikan nama biasa.

“Walaupun keluarga saya ramai yang namanya unik, bagi anak-anak saya pula semuanya nama biasa saja, yang sulung Mohd Syazwan (32), Mohd Syazmil (29), Noor Syazmira (27) dan Mohd Syazril (24),” kata suami kepada Ros Rohana Mohamad ini.

Manja berkata, tidak ramai yang mengetahui nama asalnya kerana asyik dipanggil dengan gelaran Pak Itam.

“Sejak kecil saya suka teman mak pergi menoreh, kadang-kadang saya ditinggalkan dengan pengasuh di estet India dan banyak bergaul dengan rakan-rakan kaum itu.  Arwah mak yang mula bagi gelaran tu sebab saya saja anak Melayu yang bermain dengan mereka, panggilan tu kekal sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, ketika zaman sekolah pun, dia dipanggil Pak Itam dan hanya guru yang memanggil nama penuhnya.

Antara kenangan ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mungkin kami tinggal di kampung, nama macam tu biasa saja, tak ada kawan-kawan perli atau buat lawak dengan nama saya tu, cuma ketika mula mengenali isteri, saya agak bimbang jika ditolak sebab nama saya mungkin buatkan dia malu,” katanya.

Manja berkata, dia masih ingat gelagat isterinya yang pada mulanya tidak percaya dan ingatkan itu sekadar gurauan.

“Isteri periksa nama saya dengan kawan baik saya untuk sahihkan, dan selepas itu dia terima macam biasa. Dia panggil saya abang saja,” katanya.

Menceritakan antara kenangan manis bersama rakan ketika menganggotai pasukan payung terjun, katanya, ada juga rakan yang mengusik namun dia tidak pernah mengambil hati kerana tahu niat rakannya yang hanya mahu bergurau.

“Ketika kami adakan latihan kawad atau buat persediaan terjun dari pesawat, adalah rakan yang usik, ‘nama kau ni saja Manja, tapi muka tak manja pula, watak pun tak manja’, ... “itu antara usikan yang biasa saya dapat,” katanya, yang pernah membuat persembahan payung terjun pada pertunjukan sulung Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima).

Selepas bersara awal, pelbagai pekerjaan dilakukan Manja dan terkini, menyertai perniagaan multi level produk kesihatan dan kecantikan, Firmax3 bersama anaknya, Mohd Syazmil.

“Nasihat saya kepada pemilik nama unik, tak usah malu sebab itulah keunikan kita. Anggap sahaja ia sekadar nama, kerana ia tidak mempengaruhi perwatakan kita asalkan kita miliki jati diri yang kukuh,” katanya yang berbangga diberi nama Manja.

Sumber: Sinar Harian