KUALA LUMPUR - Terbang ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) bagi menjayakan penggambaran projek eksklusif bersama jenama barang kemas antarabangsa Swarovski, bintang jelita Neelofa, beroleh semangat baharu.
Akui bintang Suri Hati Mr Pilot itu, dikelilingi tenaga kerja yang ceria dan positif, dirinya jadi bersemangat meneruskan langkah dalam dunia lakonan dan perniagaan.
"Pengalaman bekerja dengan tenaga produksi di LA sangat menyeronokkan. Dikelilingi individu yang sangat ceria dan positif, ia membangkitkan semangat biarpun berdepan gangguan dalam rutin harian dan keletihan.
"Apa yang saya lihat, mereka sangat mementingkan kualiti dan menjaga masa. Tiada masa yang terbuang begitu saja ketika penggambaran.
"Cuma buat masa ini, saya tak boleh hebahkan projek yang sedang kami usahakan ini," katanya kepada BH Online.
Pengacara program MeleTOP itu mengaku pengalaman di LA cukup bererti.
"Ini suatu kembara yang sangat bererti. Kalau ditanya apa yang seronok, bagi saya semuanya menarik hati," katanya yang sudah dua kali bekerjasama dengan Swarovski.
Mengikuti perkembangan Neelofa melalui laman Instagram, pelakon dan pengacara jelita itu kini berada di New York bagi mengikuti kursus musim panas anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sumber: BH Online