Negaraku Bangkit Bersama, Mesej Najib Untuk KL2017


KUALA LUMPUR - 'Negaraku Bangkit Bersama'. Ini mesej ditinggalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas 'pledge car' Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas selesai menyempurnakan Larian Obor KL2017 di sini, pagi ini.

Najib menyempurnakan larian beliau itu bermula dari perkarangan KLCC ke Menara Naza di Persiaran KLCC.

Kereta model Peugeot 208 berkenaan yang disumbangkan NAZA adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai menulis mesej mereka pada badan kenderaan itu sebagai sokongan kepada atlet Sukan SEA.

Larian bermula kira-kira pukul 9 pagi sebaik Perdana Menteri menerima obor daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin di perkarangan Menara Kembar Petronas KLCC.

Obor kemudian dibawa melalui perkarangan Hotel Traders di mana ia kemudian diserahkan Najib kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum kedua-duanya menyambung larian ke Menara NAZA.

Sebaik tiba di Menara NAZA, obor berkenaan kemudian diserahkan kepada Pengarah NAZA Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Larian sejauh kira-kira 5.2 kilometer berkenaan juga disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama isteri masing-masing, selain 250 orang peserta.

Ia turut disertai beberapa atlet negara iaitu ratu gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi, pesilat negara, Mohd. Al Jufferi Jamari dan bekas jaguh badminton negara, Foo Kok Keong. - Bernama