Nelayan Hilang: Keluarga Pantang Berputus Asa


DUNGUN - Keluarga nelayan hilang tetap akan meneruskan usaha mencari sekiranya pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menghentikan operasi.

Bapa kepada nelayan yang hilang itu, Mohamed Yaccob, 75, berkata, dia faham dan akur dengan keputusan pihak berkuasa untuk menghentikan operasi dalam masa terdekat tetapi dia tetap akan meneruskan usaha mencari sehingga anaknya serta dua lagi nelayan dijumpai.

“Saya mewakili ahli keluarga mangsa yang masih hilang mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang bersusah payah mencari anak saya dan dua lagi rakannya sejak Khamis lalu.

“Saya faham mereka (pihak berkuasa) ada banyak lagi kerja yang perlu dilaksanakan dan banyak kerja mereka tertangguh akibat mencari keluarga kami,” katanya yang juga bapa kepada Mohamad Zawawi, 27.

Selain anaknya yang masih hilang, dua lagi nelayan itu ialah Che Afendi Che Ismail, 34, dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Dalam kejadian itu, lima nelayan tercampak ke laut selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak ketika mahu memasuki muara di kawasan terbabit.

Selain Mohamad Zawawi, Che Afendi dan Abdul Wahab, seorang lagi nelayan Mohd Nazri Yaccob, 37, juga hilang tetapi mayatnya ditemui terapung pada pagi Jumaat lalu kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Seorang lagi nelayan yang juga adik Mohd Nazri, Mohd Shazrin, 33, selamat selepas berenang kira-kira tiga jam ke daratan.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kumpulan nelayan berkenaan gagal menyelamatkan diri selepas pegangan mereka pada bot gentian kaca yang dinaiki terlepas apabila kali kedua dipukul ombak.

Menurut Mohamed Yaccob, dia akan menggunakan bot sendiri serta milik anaknya dan mendapatkan bantuan bot rakannya berjumlah lapan buah untuk meneruskan usaha mencari tiga mangsa itu.

“Kami akan meneruskan seminggu lagi operasi mencari sehingga kami benar-benar puas hati, jumpa atau tidak kami akan meneruskan usaha selama seminggu dan selepas itu barulah saya puas hati,” katanya.

Sumber: MyMetro