DATUK Ong Kim Swee berpendapat Malaysia layak untuk memenangi perlawanan separuh akhir Sukan SEA menentang Indonesia di Stadium Shah Alam pada Sabtu malam.
Menurutnya, pemain negara telah berusaha sepanjang permainan untuk mendapatkan gol sebelum Thanabalan memecah kebuntuan ketika permainan bakal bersambung ke masa tambahan.
Jelasnya, walaupun sekadar mencatatkan kemenangan tipis namun Malaysia layak berada di final kerana pemain telah berjuang sebaik mungkin untuk memastikan misi memburu emas tidak terhenti.
"Kesemua pemain telah mempamerkan usaha mereka dan berkerja keras demi mencapai kemenangan ini, mereka layak untuk merasai kemenangan ini.
"Pemain telah menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan yang dilalui. Kalau dibandingkan dengan perlawanan pertama ketika bertemu Brunei, aksi mereka lebih baik dan teratur.
"Kali ini mereka telah bermain dengan satu matlamat iaitu untuk memastikan kemenangan dan akhirnya mereka berjaya mencapai matlamat ini setelah berusaha sejak permainan bermula, " katanya kepada pemberita.
Sementara itu Ketua Jurulatih Indonesia, Luis Milla Aspas menganggap Malaysia dan Indonesia sama kuat tetapi ketumpulan jentera serangan skuadnya memaksa mereka berputih mata.
"Pemain Indonesia telah beraksi dengan baik untuk menguasai permainan pada babak pertama tetapi hanya sedikit kelekaan pada akhir permainan telah memisahkan kita dengan kemenangan.
"Saya puas hati dan tidak kecewa dengan permainan yang dipamerkan kerana hanya penyerang gagal menepati sasaran ketika kita mendapat peluang.
"Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia kerana layak ke perlawanan akhir. Merakaxjuga bermain dengan baik untuk menghasilkan kemenagan dalam perlawanan ini," ujarnya.
Sumber: Mstar Online