GEORGE TOWN - Anggota exco kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.
Phee Boon Poh, 66, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri ialah Ahli Dewan Undangan Sungai Puyu ditahan semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disoalsiasat di pejabat suruhanjaya itu.
Perintah reman sehingga 16 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis di Makhmah Majistret di sini selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan di mahkmah tersebut.
Bagaimanapun pihak peguambela akan memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman terhadap exco itu.
Sementara itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah reman lima hari terhadap lelaki dua beranak, masing-masing berusia 70 dan 37 tahun, yang merupakan pengarah dan pengurus kilang berkenaan kira-kira pukul 12.00 tengah hari.
Boon Poh dan lelaki dua beranak itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ketiga tahanan reman itu yang berbaju lokap SPRM dan bergari, tiba di perkarangan mahkamah dengan menaiki tiga kenderaan sambil diiringi pegawai SPRM pada 10.10 pagi.
Peguam R.S.N Rayer dan Ramkarpal Singh mewakili exco itu manakala dua beranak terbabit diwakili peguam Dev Kumaraendran.
Rayer berkata pihaknya akan cuba untuk memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman lima hari terhadap anggota exco berkenaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.- Kedahnews.com.