Orang Kampung Kagum Budi Baik Sofi Jikan Tolong Mangsa Banjir Di Selama, Perak


USAHA murni pelakon Sofi Jikan membantu mangsa banjir di Selama, Perak pada Ahad lalu dilihat sebagai satu bentuk sokongan moral kepada mangsa yang terlibat.

Perkara itu diakui sendiri oleh Sofi, 46, yang kebetulan sudah tiga bulan berada di sana bagi menjalankan projek membangunkan Sarang Sengat Eco Resort yang terletak di Tebing Tinggi Ulu Mengkuang, Selama.

Tidak mahu terkecuali dalam misi bantuan itu, Sofi ketika dihubungi berkongsi pengalaman tersebut.

"Kejadian berlaku amat pantas di mana sejak petang hujan dah mulai lebat dan air mulai naik sekitar pukul 8 malam sehingga awal pagi.

"Dalam misi bantuan ini, turut serta ialah pihak NGO yang diketuai Pak Ngah Ariffin iaitu orang kanan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pihak Majlis Daerah Selama, polis, Bomba, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Antara kawasan yang diberi perhatian ialah kampung Sungai Bayor, Kampung Tapah, Kampung Ulu Nor, Kampung Sungai Berdarah, Kampung Tanjung Lengkong, Kampung Sungai Star dan seluruh kawasan Ulu Selama, Perak.


Dalam pada itu, ujar pelakon filem Rock Bro ini lagi, sebelum usaha membantu dilancarkan, mereka berkumpul untuk memasak dan membungkus nasi sebelum diagihkan kepada mangsa banjir menggunakan pacuan empat roda, 4 Wheel Drive (4X4).

"Selain membantu mangsa cucikan rumah dan mengagih makanan, saya melihat kehadiran saya juga sabagai satu bentuk sokongan moral.

"Jelas mereka nampak gembira melihat saya dan ada yang minta bergambar seakan-akan melupakan seketika beban yang sedang mereka lalui ketika itu," katanya.

Tambahnya, sekalipun tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa, namun dia turut berasa sedih dengan kerugian yang ditanggung penduduk kawasan itu.

"Anda boleh lihat menerusi gambar yang saya kirim ini. Selain mengalami kerosakan barangan elektrik, tilam dan motosikal, mangsa juga ada yang dalam keadaan kelaparan.

"Sekalipun ia tidaklah seteruk kejadian banjir di Kelantan yang pernah saya sertai dalam misi bantuan suatu ketika dahulu, tetapi kesan psikologinya tetap sama," katanya.

Tambah Sofi, dalam misi tersebut, dia turut dibawa melawat beberapa kawasan berdekatan antaranya pondok-pondok agama dan memantau beberapa jambatan yang hampir runtuh.

Selain mengagihkan makanan, Sofi turut membantu membersihkan rumah mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir.

Sumber: Mstar Online