KUALA LUMPUR - Seorang pesara dipenjara sehari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa kerana mencuri 12 helai kemeja-T Sukan SEA bernilai RM800, Isnin lalu.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Hon Kim Nien, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri itu dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Ogos lalu.
Mahkamah juga mengarahkan Hon dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Lelaki itu mencuri 12 helai kemeja-T Sukan Para ASEAN 2017, jenama FBT bernilai RM800 milik syarikat Muhammad 'Abid Haiman Mohd Azri, 21, di khemah jualan baju jenama FBT, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada 4.30 petang, 28 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. - Bernama