KUALA LUMPUR - "Tujuan kita kenakan baju lokap warna ungu adalah untuk memudahkan kita mengecam dan kenal pasti orang yang dibawa," demikian kata Ketua Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menurut Khalid, seperti sedia maklum, tahanan polis adalah ramai dan sekiranya individu yang ditahan itu memakai pakaian biasa, ia akan kelihatan seperti orang awam yang lain.
"Jadi, nanti kalau jadi apa-apa susah kita hendak ambil tindakan dengan pantas.
"Itu antara tujuan utama kita mengapa individu yang ditahan dan dibawa ke mahkamah menggunakan baju lokap. Tindakan pakai baju lokap adalah mematuhi peraturan lokap kita," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) Tahun 2017, di Bukit Aman, hari ini.
Modul MyPS ini dilihat sebagai salah satu usaha berterusan untuk meningkatkan integriti di kalangan warga PDRM dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek psikologi dan spiritual.
Tambah Khalid, pesalah yang kami siasat adalah ramai.
"Kadang-kadang sehari sehingga dua tiga 'trip' bawa ke mahkamah untuk reman, sambung reman dan bicara. Jadi, dengan memakai baju lokap ini, ia akan memudahkan tugas kita," katanya.
Terdahulu, Peguam hak asasi N Surendran mempersoalkan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua penangkapan berprofil tinggi melibatkan ahli exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang memakai baju lokap berwarna oren.
Surendran berkata, amalan memaksa memakai seragam lokap bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan juga Peraturan Penjara 2000, yang mewajibkan pihak penjara untuk membenarkan tahanan yang belum tersabit kesalahan memakai baju sendiri.
Selain itu, Surendran juga mendakwa amalan polis memaksa suspek memakai baju lokap ungu juga menyalahi undang-undang.
Sumber: Sinar Harian