Pakatan Harapan Buat Pas Ibarat Habis Madu Sepah Dibuang


KUALA LUMPUR - Keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam yang menetapkan tidak akan ada kerjasama dengan Pas pada PRU14 ibarat habis madu sepah dibuang.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, ini kerana Pas hanya diperalatkan oleh PKR dan DAP dalam agenda untuk menawan dan mengekalkan kuasa di Selangor.

Beliau berkata, Pas sepatutnya sudah tidak lagi berada dalam kerajaan negeri Selangor terutama selepas muktamar parti itu memutuskan tiada lagi tahaluf siyasi dengan PKR.

“Akhirnya selepas pengorbanan yang dilakukan, Pas dimalukan dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak parti itu pada PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan yang sebulat suara menetapkan tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU akan datang.

Malah Pakatan Harapan sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

Nazir Hussin yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa berkata, Pas sepatutnya sedar bahawa mereka hanya diperkudakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus berkuasa.

“Pas sepatutnya daripada awal perlu menyedari bahawa mereka mempunyai kekuatan sendiri tetapi malangnya masih bergantung kepada PKR, umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” katanya.

Beliau berkata, jika parti itu mempunyai maruah, mereka seharusnya berundur dari Kerajaan Negeri Selangor dan tidak lagi bersama Mohamed Azmin.

“Jika Pas punya keberanian, mereka perlu letak jawatan sebagai exco. Biar Selangor diterajui kerajaan campuran kerana PKR sendiri tidak pernah menghargai jasa Pas,” katanya.

Sumber: Sinar Harian