Pakatan Harapan Cemburui Kemampuan Negara Anjur Sukan SEA


PAKATAN  Harapan  (PH) kini semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat. Apa sahaja projek untuk kesejahteraan rakyat dibantah dan dikatakan merugikan rakyat dan negara.

PH yang 'diterajui' Tun Dr. Mahathir semakin mencemburui kejayaan Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak setelah keburukan mengenai Malaysia yang dijaja sebelum ini tidak lagi dipedulikan oleh rakyat dan negara luar. 

Di sebalik takrifan buruk pihak pembangkang, ekonomi Malaysia pula terus berkembang kepada 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.

Kedudukan ekonomi semasa negara yang positif itu menambahkan 'duka' parti-parti pembangkang kerana hasrat mereka untuk melihat Malaysia muncul negara muflis tidak mungkin lagi menjadi kenyataan. 

Dakwaan bahawa Malaysia bakal terjermus negara gagal dan menghadapi kegelapan ekonomi tidak pernah lekang daripada mulut Dr. Mahathir, Rafizi Ramli dan pemimpin oposisi lain.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim dua hari lalu menyebut bahawa data-data ekonomi terus menunjukkan perkembangan yang lebih positif terutama bagi suku ketiga dan keempat akan datang.

Fitch Rating menarafkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berada dalam kategori A- bersandarkan kepada beberapa faktor termasuklah pertumbuhan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Agak pelik, parti pembangkang yang turut dianggotai bijak pandai dan pakar ekonomi sengaja membutakan mata mereka untuk melihat realiti ekonomi semasa negara.

Terbaharu, Pakatan Harapan mempersoalkan pula kemampuan Malaysia menganjurkan temasya Sukan SEA 2017 yang dirasmikan dengan penuh gilang-gemilang malam Sabtu lalu.

Jika kerajaan gagal mengurus negara dan menuju ke arah negara muflis, mana mungkin Malaysia sanggup melakukan itu semua termasuk melaksanakan projek-projek yang tidak pernah terbayang oleh rakyat dan  malah mungkin  tidak pernah termimpi oleh  pemimpin pembangkang.

Kepada DAP, PKR, PPBM dan PAN, mereka lebih mementingkan kuasa politik untuk memerintah daripada kepentingan negara dan kebajikan rakyat. Bagi pembangkang, pada pandangan mereka inilah masa untuk mengambil alih Putrajaya  kerana semuanya sudah 'terhidang' di depan mata oleh kerajaan yang memerintah. 

Sehubungan itu Pakatan Harapan akan terus mencari idea bagi mempolitikkan apa sahaja termasuk kemampuan Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2017 yang semata-mata untuk mengabui mata rakyat dan menarik sokongan pengundi bagi menghadapi PRU14.


Kejayaan altlit meraih pingat emas dan pujian di atas kejayaan menganjurkan sukan itu bukan lagi menjadi persoalan dan perhatian pembangkang. Mereka akan mencari keburukan lagi dan kesilapan seolah-olah pemimpin dan parti pembangkang di negara ini tidak langsung melakukan keburukan.
   
Cukan Perkhidmatan dan Jualan (GST)  terus digunakan sebagai 'senjata politik'  sejak dua tahun lalu walaupun caj yang dikenakan itu dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk pemberian.

Pembangkang tidak melihat hasil faedah secara langsung atau tidak langsung yang diperolehi melalui penganjuran sukan berprestij yang diadakan secara bergilir-gilir antara negara anggota ASEAN itu.
.
Itulah rupa atau wajah parti pembangkang di Malaysia sejak 60 tahun negara mencapai kemerdekaan hingga sekarang.

Mereka tidak pernah berubah dan tidak bersetuju walaupun sesuatu yang dilaksanakan kerajaan itu bermanfaat untuk rakyat sama ada yang menyokong pemerintah mahupun yang sering mencacinya.
- Kedahnews.com.