Panjat Pencawang Sebelum Jatuh


LELAKI parah selepas terjatuh dari pencawang Telekom berhampiran sebuah kilang mi di Tanjung Batu, Tawau, hari ini.

Pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 27 tahun itu ditemui orang awam di atas bumbung sebuah pondok di bawah pencawang berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau,Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 5.26 petang.

Beliau berkata, susulan itu, dua jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kita dapati mangsa berada di atas bumbung zink pondok stor berhampiran sebuah pencawang Telekom.

"Lelaki itu, sebelum itu, dipercayai memanjat pencawang berkenaan tetapi terjatuh dari ketinggian tiga meter ke atas bumbung pondok stor terbabit," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk mendapat rawatan lanjut

Sumber: MyMetro