Pantau Kontraktor Elak Kerja Ala Kadar


SUNGAI PETANI - Pihak berkuasa disarankan membuat pemantauan terhadap kontraktor yang berjaya mendapat tender kerajaan bagi memastikan projek dilaksanakan mematuhi piawaian sekali gus mengelakkan berlakunya kerja ala kadar.

Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Ko Hung Weng berkata, kerja-kerja pemantauan penting agar kontraktor terpilih dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan jaya dan memuaskan.

Beliau bagaimanapun merujuk kepada kerosakan berlaku di kawasan perniagaan Taman Aman dan laluan masuk ke Taman Intan yang baru sahaja dibaik pulih kira-kira dua tahun lalu, namun rosak semula.

“Masalah kerosakan, kita telah masukkan ke dalam mesyuarat dan peruntukan sudah pun diluluskan, namun apa yang lebih penting ialah pemantauan terhadap kerja dijalankan kontraktor sebelum ini, adakah memuaskan?,” katanya.

Hung Weng membuat tinjauan ke lokasi terbabit bagi mengenal pasti perkembangan baik pulih yang dijalankan di lokasi kejadian.

Hadir sama, Pengerusi Kebajikan dan Sosial, Makbul Ilahi Hashim.

Beliau akan mengemukakan usul agar kenderaan dilarang masuk ke kawasan berkenaan bertujuan mengelak kerosakan sama berulang.

“Saranan membuat pemantauan projek dijalankan kontraktor yang dapat tender bukan tertakluk kepada kes ini sahaja tetapi projek-projek lain juga yang saya tengok bila dah baiki, ia rosak lagi,” dakwanya.

Pengguna, Ahmad Ishak, 52, berkata, kerosakan mengundang risiko terutama kepada pengguna yang tidak menyedari keadaan terbabit termasuk mereka yang melaluinya pada waktu malam.

“Saya risau sebab longkang dah mendap menyebabkan laluan tak sekata, bimbang jadi apa-apa terutama penunggang motosikal, tapi lega bila tengok depa dah baiki, “katanya.

Sumber: Sinar Harian