Parti Ditubuh Atas Sebab Peribadi, Dendam Tidak Akan Bertahan Lama - Najib


SEBUAH parti yang berjuang demi nafsu, dendam dan sebab peribadi tidak dapat menandingi roh perjuangan untuk kesejahteraan rakyat yang telah menjadi asas perjuangan UMNO sejak ia ditubuhkan. 

Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti politik  yang hendak berjaya perlu mempunyai hala tuju dan roh perjuangan yang jelas seperti UMNO.

"Roh perjuangan (yang) membakar, mengaum (dan) roh perjuangan itu ada (pada UMNO), 
berbanding dengan 'parti bunga' yang hanya berlandaskan kepada nafsu, dendam serta sebab peribadi, tidak akan dapat berdiri kukuh untuk berjuang membela rakyat, " kata Najib.

"Apakah hala tuju sebenar parti bunga (PPBM), apakah roh perjuangan (mereka), kalau semata-mata nak balas dendam bertujuan peribadi (dan) perjuangan seperti itu, percayalah takkan bertahan lama, " kata Najib.

Berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh  hari ini, Pengerusi Barisan Nasional itu menjelaskan perjuangan kerana nafsu dendam untuk menolak sesuatu kerana ada kelompok kecil tidak puas hati, tidak boleh tandingi perjuangan UMNO yang dibawa sekian lama untuk rakyat.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron; bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil serta kira-kira 20,000 perwakilan dan orang ramai.

Najib berkata dalam usaha UMNO meneruskan roh perjuangan itu pada masa kini dan masa hadapan, anggotanya perlu menyemat semangat terus berjuang dan berkhidmat untuk rakyat walaupun tiada jawatan dalam politik.

Beliau berkata kesetiaan sepanjang hayat terhadap UMNO oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang terus berkhidmat untuk parti dan rakyat tanpa memegang jawatan politik perlu diteladani semua anggota parti.

"Melihat Allahyarham sebagai simbol kesetiaan sepanjang hayat, ketaatan yang sejati dan pejuang UMNO yang tulen dan saya masih ingat lagi Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman pernah menyebut Abdul Ghafar kata jawatan tidak penting yang penting adalah parti UMNO.

"Sikap seperti ini yang perlu ada dalam diri setiap daripada kita dan lebih-lebih lagi kita nak berjuang untuk menebus maruah kita di Bukit Katil ini. Kita mesti ambil iktibar daripada pejuang seperti Tun Abdul Ghafar," katanya.

Katanya sikap kesetiaan Abdul Ghafar itu dilihat turut ada pada diri Mohd Ali meskipun beliau tiada jawatan dalam politik, namun tetap bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

- Bernama