PAS Puas Hati Penjelasan Arul Kanda, Yakin 1MDB Mampu Dipulihkan


DI SEBALIK  serangan bertubi-tubi yang dibuat oleh parti pembangkang, khususnya DAP dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, PAS semalam menerima  pelan rasionalisasi 1MDB  kerana ia diyakini membantu mengurangkan hutang syarikat pelaburan negara itu.

PAS berpuas hati dengan penjelasan yang telah pun dibuat oleh Ketua Pengawai Eksekutif 1MDB , Arul Kanda Kandasamy khususnya pelan mengenai rasionalisasi yang dicadangkan bagi mengatasi masalah teknikal yang dihadapi oleh 1MDB.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, pelan rasionalisasi 1MDB memang membantu mengurangkan hutang tetapi beliau mencadangkan agar ia diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

"Kami juga percaya syarikat pelaburan itu mampu dipulihkan sekiranya tiada campur tangan pihak yang cuba mengganggu pelan pemulihan yang sedang dijalankan, " kata Tuan Ibrahim  dalam sidang media di sini semalam.

Pemimpin PAS itu mengadakan perbincangan meja bulat yang melibatkan delegasi dari pasukan pengurusan 1MDB yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB di Hotel de Palma Ampang, Kuala Lumpur semalam..

Ia merupakan pertemuan pertama se­umpamanya diadakan antara pegawai 1MDB dan parti pembangkang.

Turut hadir pada sidang meja bulat itu ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa pensyarah ekonomi dan penganalisis pasaran.

Walaupun beberapa pihak khususnya Pakatan Harapan yang diketuai DAP terus mengecam 1MDB dan Perdana Menteri, PAS sebaliknya mengambil pendekatan matang untuk memastikan 1MDB kembali pulih.

“PAS berpuas hati terhadap pelbagai usaha yang dibuat dan melihat bebanan hutang yang ditanggung oleh syarikat itu dapat diselesaikan mengikut pelan yang disusun. Kami menyokong usaha-usaha baik demi memulihkan syarikat ini,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini menjelaskan syarikat pelaburan negara itu hanya melibatkan isu teknikal dan bukannya soal tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman.

Perdana Menteri juga menegaskan kedudukan hutang negara masih berada dalam lingkungan terka­wal, malah ia dapat dikurangkan kepada 52.5 peratus berbanding 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - Kedahnews.com