PAS menyambut baik kesediaan kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985.
Setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya merasakan langkah tersebut amat wajar selaras dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara 8 dalam perlembagaan itu meyatakan setiap rakyat di negara mendapat hak dan perlindungan yang sama di sisi undang-undang, " kata Takiyuddin yang memberitahu Lajnah Politik PAS Pusat telah memutuskan menubuhkan satu jawatankuasa khas.
Dalam satu kenyataannya semalam, beliau menjelaskan jawatakuasa itu bertujuan untuk membela nasib mangsa tragedi Memali dan ia dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Jawatankuasa khas tersebut akan bertindak segera mengendalikan perkara ini termasuk membawa waris-waris mangsa tragedi Memali bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Zahid merangkap Menteri Dalam Negeri bagi mengemukakan aduan rasmi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, semasa berucap di Bukit Gantang, Perak kelmarin memberitahu kerajaan sedia menimbang penubuhuan suruhanjaya itu.
Dalam perkembangan yang sama PAS Selangor juga menggesa kerajaan Persekutuan supaya segera menubuhkan RCI bagi menyiasat kembali peristiwa itu serta pihak yang bertanggungjawab mencetuskannya.
Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata penubuhan suruhanjaya itu juga perlu bagi menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku dalam peristiwa berkenaan.
"Peristiwa Memali ini berlaku semasa era pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan PAS Selangor berpandangan sudah sampai masanya peristiwa berdarah ini dibongkar untuk mendapatkan gambaran sebenar kenapa, mengapa dan bagaimana peristiwa ini berlaku."
"Kami mengharapkan satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti siapakah dalang sebenar di sebalik peristiwa berdarah ini dan mereka yang bertangggungjawab harus ke muka pengadilan untuk diadili dengan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Presiden PAN, Mohamad Sabu yang juga bekas Timbalan Presiden PAS bagaimanapun menyerahkan kepada Dr. Mahathir untuk menjawab cadangan itu. - Kedahnews.com
