Pasukan Penguat Kuasa KWSP Bantu Majikan Carum Pekerja


KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sentiasa melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan majikan di negara ini melaksanakan tanggungjawab dalam membuat caruman untuk pekerja mereka.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan KWSP Hardial Singh berkata, satu daripada inisiatif yang telah dilaksanakan dengan jayanya adalah dengan mempunyai pasukan penguatkuasaan yang proaktif dan sistem pemantauan yang efektif.

"Mereka ini merupakan satu pasukan yang komited dan profesional.

"Selain advokasi, pegawai dalam pasukan ini yang juga dikenali sebagai inspektor, sedia memberi khidmat nasihat dan 'reach out' kepada majikan yang mungkin mempunyai masalah dalam memahami dan melaksanakan tanggungjawab mereka itu," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di ibu pejabat KWSP di sini.

Beliau menjelaskan, sekiranya pasukan penguatkuasaan mendapati ada majikan yang gagal membuat caruman untuk sesuatu bulan, pegawainya akan menghubungi majikan atau memberi notis peringatan disusuli dengan lawatan pemeriksaan ke premis.

Sumber: Kosmo