PATI Didakwa Rompak, Bunuh Pemilik Kilang Di Kuang


SHAH ALAM - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas majikannya di sebuah kilang papan di Kuang, Selayang, 5 Ogos lalu.

Tertuduh, Satria Hidayat, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari Madura, Indonesia.

Mengikut pertuduhan, dia yang pernah berkerja di kilang itu didakwa membunuh pemilik kilang Summer Media Sdn. Bhd., Tan Kim Poh, 70, di pejabat kilang tersebut di Lot 4775, Mukim Rawang, Matang Jaya, Kuang, Selayang, antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, 5 Ogos lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kes berasingan di mahkamah yang sama, Satria mengaku bersalah atas tuduhan menetap di negara ini tanpa dokumen sah mengikut Seksyen 6 (c) (1) Akta Imigresen 1959/63.

Berikutan itu, dia dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dari tarikh tangkap iaitu 8 Ogos lalu.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Satria mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain atas tuduhan merompak telefon bimbit serta wang tunai RM3,000 milik Kim Poh di waktu dan tempat yang sama.

Tertuduh yang telah berkahwin didakwa mengikut Seksyen 392 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes disebut semula pada 26 September ini.

Sumber: Kosmo