TELOK KEMANG - Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 27, Jalan Bukit Pelandok, Port Dickson di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 minit itu, mangsa, K. Sivanesan, 27, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berusia 35 tahun dipercayai membuat pusingan U di lokasi kejadian.
Ujarnya, tindakan pemandu warga Bangladesh itu yang datang dari arah pekan Bukit Pelandok menghala Sepang telah menyebabkan kenderaanya terlanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang merupakan pekerja kilang tercampak ke dalam longkang dan kemudiannya dihempap kenderaan pacuan empat roda yang terbabas di longkang tersebut,” katanya di sini hari ini.
Zainudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson di sini untuk bedah siasat manakala pemandu Toyota Hilux itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Utusan Online