JOHOR BAHRU - Seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas lima pertuduhan memuat dan menghantar komunikasi berunsur lucah menerusi aplikasi WhatsApp, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Nadzri Md Noh, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar memuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat menyakitkan hati orang yang membacanya dengan menggunakan aplikasi tersebut.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada masa dan lokasi berlainan, 29 hingga 31 Disember 2014.
Tertuduh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM3,000 bagi semua pertuduhan dan seorang penjamin ke atas tertuduh, selain 13 September ini sebagai tarikh sebutan semula.
Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Sinar Harian