Pelancong Warga China Hilang Di Pulau Redang Dikhuatiri Lemas


KUALA TERENGGANU - Seorang pelancong warga China dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Tanjung Tengah, Pulau Redang, di sini, petang semalam.

Mangsa, Huang Qingfe, 21, dari Zhejing, China, dikatakan mandi bersama seorang lagi rakannya di Tanjung Tengah sebelum ditinggalkan sendirian.

Bagaimanapun, selepas lima minit, rakan mangsa mendapati lelaki itu tiada di lokasi dan segera meminta bantuan daripada pihak resort didiami mereka.

Berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa, gerakan mencari dan menyelamatkan pelancong terbabit diaktifkan kira-kira jam 11.30 malam tadi, membabitkan pegawai dan anggota dari Balai Polis Pulau Redang serta pekerja resort.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 3.45 pagi.

Beliau berkata, satu pasukan pegawai dan anggota diketuai oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Daerah Kuala Terengganu, Komander Maritim Simon Templer Lo Tusa, digerakkan ke lokasi.

"Sebuah bot separa laju maritim, Bot Kilat 2 bersama lima kru digerakkan ke lokasi untuk menyertai pasukan mencari dan menyelamatkan pelancong terbabit di lokasi kejadian.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa turut disertai Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum ditemui, namun usaha mencari dan menyelamatkan pelancong warga China terbabit masih diteruskan, " katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pagi ini.

Sumber: BH Online