Pelawak Veteren Hollywood, Jerry Lewis Meninggal Dunia


WASHINGTON - Pelawak veteran Hollywood, Jerry Lewis, yang menawan hati jutaan peminat sepanjang kerjayanya selama enam dekad, meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Antara penghibur paling popular Amerika Syarikat pada era 1950-an dan 1960-an, Lewis bukan hanya mencipta nama sebagai badut di sebalik komedi seperti 'The Nutty Profesor' tetapi turut mendapat pengiktirafan sebagai penulis, pelakon dan dermawan.

Pelawak legenda itu meninggal dunia di rumahnya di Las Vegas awal pagi semalam waktu tempatan.

"Dengan rasa sedih, saya mengesahkan dunia kehilangan seorang yang sangat penting.

"Jerry meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di sisi keluarga dan rakan," kata pegawai publisiti pelawak itu, Nancy Kane, dalam kenyataan.

Mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara termasuk pencalonan Hadiah Nobel Keamanan dan Legion of Honor dari Perancis, Lewis dikenali kerana usaha tanpa lelah mempromosikan kesedaran mengenai Muscular Dystrophy sebagai asas jenakanya.

Selama lebih 45 tahun, beliau mengumpul kira-kira AS$2.45 bilion (RM10 bilion) untuk memerangi penyakit itu menerusi rancangan televisyen. - AFP