Pelayar Wanita Negara Tambah Pingat Perak Di Langkawi


LANGKAWI - Skuad pelayaran negara menambah satu lagi pingat perak melalui kategori Windsurfing RS One Wanita pada cabaran hari kelapan acara pelayaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan, di sini hari ini.

Pingat itu dimenangi Geh Cheow Lin, pemenang pingat emas dalam acara  Windsurfing Terbuka (Campuran) pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis tiga  tahun lalu, dengan memperoleh 26 mata penalti, berbanding pelayar  Thailand,  Siripon Kaewduang Ngam yang merangkul emas dengan 19 mata penalti.

Pingat gangsa pula dimenangi pelayar Singapura, Nicole Lim Si Ning dengan 37 mata penalti.

Satu lagi perlumbaan penentuan pingat yang dijadualkan akan berlangsung pagi ini iaitu kategori Windsurfing RS One Lelaki, terpaksa ditangguhkan pada sebelah petang akibat hujan lebat.

Pelayar negara, Ilham Wahab, yang mewakili negara dalam kategori itu, berada di tangga ketiga dengan 26 mata penalti setelah mengakhiri sembilan perlumbaan semalam, dan tidak mustahil untuk memperoleh perak atau pun gangsa hari ini.

Ini berikutan hanya lima mata yang membezakan kedudukannya dengan pelayar Filipina, Geylord Coveta dan pelayar Thailand, Natthaphong Phonoppharat yang masing-masing mempunyai 21 mata penalti ketika ini.

Semalam, kem pelayaran negara menambah dua lagi pingat emas menerusi kategori International 470 Lelaki dan International 420 Lelaki.

Setakat ini, skuad pelayaran sudah meraih tiga emas, dua perak dan satu gangsa, dan ini menunjukkan mereka semakin hampir mencapai sasaran lima emas dalam acara tersebut.

Lima perlumbaan penentuan pingat esok akan membabitkan kategori Laser Radial Lelaki, Laser Radial Wanita, Optimist Lelaki, Optimist Wanita dan Laser Radial Standard.

-- BERNAMA