KUALA LUMPUR - Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Kedah dan FELDA United boleh menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia jika menang pada aksi peringkat kumpulan, malam ini.
Setakat ini hanya PKNP, Perak dan Selangor sudah memastikan tempat ke suku akhir.
Johor DT akan menyertai Selangor layak dari Kumpulan D apabila mereka berdepan Terengganu di Stadium Larkin yang mana keputusan seri juga sudah memadai.
Bagaimanapun, jurulatih Ulisses Morais mahukan tiga mata dalam usaha muncul juara kumpulan ketika kedudukan naib juara mungkin menyaksikan mereka berdepan juara bertahan Kedah pada suku akhir.
“Pemain melakukan yang terbaik untuk meraih tiga mata pada perlawanan itu,” ujar Morais, merujuk kepada kemenangan 2-0 ke atas Sarawak di Kuching Sabtu lalu menerusi jaringan Mohammed Ghaddar dan Safiq Rahim.
“Ia kerana objektif kami adalah layak ke suku akhir Piala Malaysia. Bagi saya, mereka mempunyai tanggungjawab iaitu merealisasikan impian kelab layak ke pusingan berikutnya.”
Selepas membelasah UiTM FC 5-0 di Shah Alam pada 7 Julai lalu, Kedah pasti yakin meraih satu lagi kemenangan ke atas lawan sama di depan penyokong mereka sendiri di Alor Setar.
Kedah tampil selepas membenam Melaka 6-2 di laman lawan Sabtu lalu malah keputusan seri di Stadium Darul Aman malam ini sudah cukup buat mereka melangkah dari Kumpulan C dengan berbaki satu perlawanan dan perlawanan tunggal esok antara Kelantan dan Melaka United tidak berakhir dengan seri.
FELDA memerlukan hanya satu mata menentang PKNS yang sudah tersingkir di Jengka untuk layak ke suku akhir selepas menang 4-1 ke atas Kuala Lumpur dalam Kumpulan B ketika penyerang import Thiago Augusto Fernandes meledak hatrik untuk mengumpul 12 gol setakat ini.
“Pujian buat pemain yang bekerja keras dan bekerjasama dengan saya. Saya hanya mempersiapkan formasi dan cara permainan tapi semuanya bergantung kepada pemain di tengah padang,” ujar jurulatih B Sathianathan.
Sumber: MyMetro