SHAH ALAM- Gara- gara gagal membayar denda RM20,400 kerana mengaku bersalah atas 19 pertuduhan membabitkan kesalahan trafik, seorang pemandu bas Sukan Sea dipenjara selama 182 hari.
Terdahulu, Majistret Mahkamah Shah Alam, P Sarulatha menghukum R Krishnan denda RM20,400 dan penjara 182 hari sekiranya gagal menjelaskan denda itu.
Krishnan,34, yang merupakan pemandu bas bagi pasukan hoki negara itu mengaku bersalah terhadap 13 kesalahan trafik iaitu tiada lesen memandu, tidak mempamerkan lesen kenderaan, lesen tamat tempoh dan tiada lesen memandu kenderaan berat (GDL) dari 2005 sehingga 2016.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 20, Seskyen 26 (1) dan Seksyen 56 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM200 hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Ramli yang mengendalikan kes memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
"Tertuduh pada masa sama merupakan pemandu bas bagi Sukan Sea yang sedang berlangsung dan memiliki lesen palsu.
"Perbuatan ini boleh memberi kesan negatif kepada negara, pengguna jalan raya dan diri sendiri," katanya.
Krishnan dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga.
Dia kemudiannya dihantar ke penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.
Sumber: Sinar Harian