Pemandu Myvi Mohon Maaf Kerana Bersikap Samseng


KECOH di media sosial gara-gara seorang pemandu Perodua Myvi yang bersikap seperti samseng jalanan apabila cuba menghalang dan melakukan provokasi terhadap pemandu lain.

Video itu dipercayai dirakam dashcam kereta mangsa pada 5 Ogos lalu, sebelum tular, kelmarin.

Rakaman video menunjukkan kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 petang di sekitar Subang Jaya, Selangor.

Rakaman juga menunjukkan pemandu Myvi yang berada di lorong kanan, cuba memotong barisan ke lorong paling kiri gara-gara hendak mengelak kesesakan lalu-lintas.

Selepas dihon, pemandu Myvi terus mengekori kereta mangsa.

Enggan terlibat pertelingkahan, pemandu itu cuba ubah haluan.

Keadaan tidak terhenti di situ, apabila Myvi itu dipandu secara berbahaya, memotong dan berhenti di hadapan kereta mangsa.

Pemandu Myvi itu terus membuat provokasi dengan mengundur kenderaannya lima kali sebelum muncul seorang lelaki, memarahinya.

Mereka kemudiannya beredar ke arah laluan berbeza.

Video berdurasi empat minit itu mendapat tontonan lebih satu juta netizen, rata-rata tidak berpuas hati dengan kebiadaban pemandu Myvi.

Tidak kurang juga cuba menyalahkan pemilik Perodua Myvi yang lain.

Ada juga mencadangkan agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan penggunaan dashcam bagi mengurangi kes samseng jalanan.

Selepas video tular, dikatakan pemandu Myvi terbabit menghubungi mangsa untuk meminta maaf.

Pemandu Myvi itu mengaku kepenatan dan tidak cukup tidur punca dia gagal kawal kemarahan selain tidak berniat mengganggu  mangsa.

Sumber: Sinar Harian