Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Dijamin Tidak Burukkan Banjir


KOTA KINABALU - Borneo Highway PDP Sdn. Bhd, pelaksana Lebuhraya Pan Borneo Sabah, akan memastikan pembinaan lebuh raya itu yang turut melibatkan Kampung Kolopis, Penampang dekat sini, tidak memburukkan lagi keadaan banjir di kampung berkenaan.

Pengarah Urusan syarikat itu Shahelmey Yahya dalam kenyataannya hari ini memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

Beliau mengulas kebimbangan penduduk kampung berkenaan berhubung pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di kawasan mereka yang dikhuatiri memburukkan lagi keadaan banjir di kampung tersebut.

Kampung itu sering terjejas banjir kerana terdapat laluan air hujan dari kawasan bukit berhampiran.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri juga telah meninjau untuk mengetahui masalah sering banjir di kampung itu, Sabtu lepas.

Dalam lawatan itu, Pairin diberi taklimat dan penjelasan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (Bahagian Tebatan Banjir dan Pantai) Chung Kin Chong mengenai bentuk muka bumi kawasan kampung serta mencadangkan beberapa langkah pencegahan termasuk menyediakan rumah pam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Datuk Ir Amrullah Kamal dan Pegawai Daerah Penampang Luvita Koisun. - BERNAMA