KUALA LUMPUR - Penyanyi, Zizi Kirana, menasihat peminatnya di Indonesia agar tidak berbalah hanya kerana penampilan seksi beliau di Instagram.
Mengaku tidak terkesan dengan kritikan diterima daripada netizen, Zizi berkata, beliau sudah menjelaskan kepada mereka, gambar yang dimuat naik itu adalah foto lama.
Zizi, 32, mula mendapat perhatian peminat di negara terbabit apabila beliau menyertai program D'Academy Asia musim kedua.
"Sebelum ini, orang tidak kenal siapa Zizi Kirana sehinggalah saya menyertai program terbabit. Apabila saya memuat naik gambar sedemikian, tiada siapa pun yang peduli sebab saya tidak dikenali.
"Namun, apabila orang mula kenal siapa saya, mereka mulalah nak menghukum dengan mengaitkan saya sebagai murtad sebab seksi. Berikutan itu, peminat saya di kedua-dua negara berbalah di media sosial.
"Mulanya memang saya tak boleh terima, sehinggakan ada yang menasihati saya agar menutup saja ruangan komen. Tetapi, apabila saya menjelaskan kepada peminat di Indonesia dan meminta mereka agar tidak keterlaluan dalam memberikan komen, barulah mereka faham," katanya ketika ditemui pada sidang media D'Academy Asia musim ketiga, di sini.
Enggan memberikan komen balas terhadap kritikan berkenaan, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizi Mohd Tahil mengambil pendekatan membiarkan saja peminat menilai sendiri penampilannya.
"Saya malas nak ambil kisah sebab kebanyakannya yang memberikan komen berlagak seperti ustazah, namun apabila dilihat profil mereka, ada yang lebih teruk daripada saya.
"Mereka tidak perlu menjatuhkan hukum dengan mengaitkan agama kerana urusan itu adalah antara saya dengan Allah," katanya yang berulang-alik setiap bulan ke negara itu bagi menjayakan acara bertemu peminat.
Bercerita mengenai kerjaya seninya, Zizi memberitahu beliau kini merancang penghasilan single baharu dengan kerjasama komposer Indonesia, menggabungkan genre dangdut dan rock.
"Sebelum ini, saya banyak berada di belakang tabir dengan menjadi penyanyi latar untuk penyanyi lain. Saya juga ada mencipta lagu seperti Lepaskan dan Alhamdulillah, nyanyian Wani serta Juzzthin," katanya yang sudah sembilan tahun menghambakan diri pada seni.
Sumber: BH Online